Rakaman KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI-Masjid Negara

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Rakaman KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI-Masjid Negara. Ada kesempatan ni saya nak kongsikan Rakaman KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI di Masjid Negara pagi tadi 9 Mac 2016. Bagi yang nak dengar khutbah tersebut ada rakamannya videonya disini. Anda boleh lihat dan dengar.

Rakaman KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI-Masjid Negara
Rakaman KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI-Masjid Negara
Bagi yang tak dapat nak lihat video khutbah ni, Anda boleh baca isi kandungan khutbah yang saya kongsikan dari Facebook Masjid Negara Malaysia ini. Berikut adalah isi kandungan khutbah tersebut.

"
KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI- Masjid Negara Malaysia
“MENGGALI RAHSIA KEAGUNGAN ALLAH”
(9 Mac 2016 / 29 Jamadilawwal 1437)

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT pada setiap saat dan ketika dengan memperbanyakan amalan soleh serta amal kebajikan. Janganlah sekali-kali kita lupa untuk bertahmid memuji Allah, bertasbih, bertakbir dan bertahlil sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT di atas pengurniaan segala nikmat serta limpahan rahma-Nya kepada kita. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mereka yang beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan yang hakiki di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah khas Gerhana Matahari yang bertajuk “MENGGALI RAHSIA KEAGUNGAN ALLAH”.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Allah SWT telah mencipta langit dan bumi ini dengan penuh keindahan dan kehebatan. Di bumi, Allah SWT ciptakan kita sebagai umat manusia di samping makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, lautan, sungai dan sebagainya. Manakala di langit pula, Allah SWT ciptakan cakerawala yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang yang menghiasi langit serta memberi manfaat kepada hamba-hamba-Nya.
Kehebatan ini tidak terhenti di sini sahaja, bahkan Allah SWT telah membuktikan pula kepada kita bahawa Dia adalah pentadbir alam semesta yang Maha Agung dan Maha Berkuasa sehingga tidak ada sebab berlakunya pelanggaran antara satu sama lain. Jika sekiranya berlaku pertembungan matahari dan bulan, maka ini akan mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan.
Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 40,

Maksudnya: “(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.”

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Peristiwa gerhana matahari merupakan suatu iktibar kepada umat manusia bahawa kita adalah makhluk kecil dan lemah di sisi Allah SWT. Allah SWT memperlihatkan sedikit daripada bukti kekuasan-Nya kepada manusia melalui peristiwa gerhana matahari yang merupakan salah satu fenomena yang amat mudah bagi-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 37:

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.”

Pada hari ini, sekali lagi Allah SWT telah memperlihatkan kehebatan dan kekuasan-Nya yang mutlak, di mana berlakunya gerhana matahari. Peristiwa ini telah menarik perhatian jutaan manusia seluruh dunia untuk menyaksikan suatu fenomena alam yang hebat dan ajaib bukti kekuasaan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya. Bagi umat Islam, peristiwa seumpama ini sebenarnya memperteguhkan dan memantapkan lagi keimanan sekiranya dihayati.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Kejadian gerhana matahari berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi. Manakala gerhana bulan berlaku apabila kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan. Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi kerana itu ia dinamakan gerhana. Kita sedia maklum bahawa bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya daripada matahari sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 5,

Maksudnya: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar; Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmah sesuatu yang dijadikanNya).”

Apa yang jelas, penciptaan matahari, bulan, cakerawala dan apa jua di alam ini bertujuan membolehkan seluruh manusia mengambil manfaat serta faedah daripadanya seperti menjana sistem solar, menjana elektrik dan menghasilkan kuasa elektrik. Ya, sesuatu kejadian yang dipertontonkan kepada kita ada hikmah tersendiri dan Allah SWT mahu manusia sentiasa berfikir, merenung dan bertadabbur bagaimana sepatutnya matahari dan bulan mengelilingi bumi setiap hari secara berasingan boleh bertemu pada ketetapan yang diinginkan Allah yang dinamakan gerhana matahari atau gerhana bulan itu.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Kejadian gerhana matahari tiada kaitan dengan malang atau celaka sesuatu perkara. Ia merupakan keadaan yang berlaku sejak dahulu kala lagi termasuklah juga pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW yang mana kebetulan ketika itu wafat putera baginda yang bernama Ibrahim. Maka ramai yang menyangka bahawa gerhana itu membawa maksud kesedihan hati Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

Mafhumnya: “Rasulullah SAW bersabda bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan mati seseorang dari kalangan manusia, maka pabila kamu melihat berlakunya suasana (gerhana matahari dan bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan kelihatan semula bagi kamu.”

Sebenarnya kejadian gerhana juga adalah satu peringatan kepada manusia bahawa jika Allah berkehendak menghentikan peredaran matahari, bulan, bintang, bumi dan lainnya sudah pastilah seluruh kehidupan ini akan musnah. Ia juga merupakan peringatan kepada manusia. Sesungguhnya Allah boleh menghancurkan alam ini dengan begitu mudah dengan gelincirnya peredaran matahari atau bulan dari paksinya. Jika ini berlaku alam semesta akan hancur dan musnah. Maka adakah kita benar-benar bersedia untuk menghadapi suasana ini?. Apakah persiapan yang telah dilakukan, berapa banyak kebajikan yang telah dibuat, adakah syariat Allah SWT benar-benar kita junjung, adakah kita yakin boleh selamat pada hari yang tiada manfaatnya harta dan anak pinak?.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Dengan kejadian gerhana matahari ini, Allah SWT telah menunjukkan sebahagian daripada kekuasaannya agar manusia segera insaf, gerun dan takut kepada ancaman Allah SWT. Oleh itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dengan peristiwa gerhana matahari ini dengan rasa penuh keinsafan dan bermuhasabahkanlah atas segala yang telah dilakukan.
Di samping itu, perbanyakanlah amal yang dapat menghampirkan diri kita kepada Allah SWT dengan taubat, amalan kebajikan, amal soleh, berzikir, bertakbir, bersedekah dan berdoa. Tanamkan juga di dalam hati dan jiwa kita kesungguhan untuk menghayati hikmah disebalik setiap peristiwa, kejadian dan fenomena alam dalam apa bentuk sekalipun. Mengakhiri khutbah, sebagai usaha untuk melahirkan keteguhan seterusnya mengekalkan kekuatan iman yang ada dalam diri umat Islam, mimbar menggariskan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman bersama:

Pertama: Fenomena kejadian gerhana merupakan bukti kebesaran Allah SWT yang ditunjukkan kepada makhluk-Nya untuk dijadikan bahan tafakkur.
Kedua: Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah
Ketiga: Menghitung, mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa.

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Nyawa kamu akan diambil oleh Malakul-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudain kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami! kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yaqin.” (Surah as-Sajadah: 11-12)
Rujuk: Jakim
"

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Boleh kongsikan entri ini dengan rakan-rakan anda juga. Terima kasih.

11 Comments

  1. Alhamdulillah... kakak suka N3 ini
    Puas hati membaca walau tak dpt dengar tapi kakak menghayati apa yg dititipkan dari N3 ini. Terima kasih banyak dari kakak.

    Terasa bagai kiamat semakin hampir - takut juga dek amalan yg tak seberapa ini. Allahuakbar!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak pengajaran yang boleh di ambil dari isi khutbah ini jika dihayati betul-betul. Dunia dah makin 'tua'.

      Delete
  2. DIA berkuasa ke atas kita semua.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu akak. Semuanya dalam penguasaan Allah SWT.

      Delete
  3. thanks tuan sebab terbitkan teks khutbah ini.

    ReplyDelete
  4. banyak amalan sunnah boleh dibuat semasa gerhana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yea betul tu. Salah satunya solat gerhana dan mendengar khutbah setelah solat gerhana tersebut.

      Delete
  5. Terima kasih atas perkongsiannya PM

    ReplyDelete
  6. astagfirullahal azim... betul2 memberi kesedaran, sesungguhnya allah berupaya mengkehendakkan sesuatu...

    ReplyDelete

Terima kasih komen di sini.
PS: Diharap dapat menjaga tatasusila semasa memberi komen.
**Jangan tinggalkan link atau URL diruangan komen.