Preview Proton Prevé

2012-04-08

Assalamualaikum....
Jalan2 dalam blog, terjumpa cite pasai kereta baru Proton ni. Cantik... Ni aku kongsi sedikit cerita, nak tengok yang real.. Tunggu nanti lepas ada di bilik pameran PROTON. All the best PROTON Prevé

BANGGA.
Itulah yang mampu diperkatakan bila pertama kali melihat rupa model Proton terbaru, Proton Prevé. Ia lebih cantik dilihat dengan mata sendiri dari di dalam gambar atau skrin komputer. Lampu posisi LED (bukan DRL, hanya dibuka bila lampu utama dibuka), profil bamper ala Eropah dan lampu belakang LED yang tirus dan moden, Prevé jauh nampak lebih kemas dari model Jepun dalam kategori yang sama.
Para media dijemput untuk menghadiri satu sesi preview untuk Proton terbaru ini di Putrajaya, dan pihak Funtastickodesign dan Auto Anda dijemput untuk menyaksikan sendiri hasil usaha proton selama 2 tahun ini. Konsep produk ialah ke arah sebuah sedan keluarga yang elegan dan selesa. Sasaran pasaran pula ialah keluarga kecil (suami berusia hujung 20-an hingga 40-an) dan untuk mereka yang mencari kereta kedua atau menggantikan kereta pertama. Sasaran kedua ialah profesional muda dalam umur pertengahan 20-an yang mahukan sebuah sedan yang sporty.
Bagi yang tertanya tentang nama Prevé, ia sebenarnya berasal dari perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud “to prove” atau untuk membuktikan. Cara sebutan asal ialah “preev” tetapi Proton telah mengubahnya agar nampak lebih komersil. Cara sebutan Prevé ialah “prae-vae”. Pasti ada yang akan merungut akan konsep nama ini kerana ramai yang berjiwa Hang Tuah (nasib baik juga Hyundai dan Kia tidak ada pahlawan kampung di Korea kerana model kenderaan mereka lebih ke arah barat, contohnya Hyundai Santa Fe (nama tempat di US), atau Kia Cee’d).
Prevé pada asalnya direka untuk menggantikan model Persona. Namun permintaan pasaran yang masih kuat untuk Persona menyebabkan Proton terpaksa menjual model Persona lagi selepas ini, walaupun speknya akan diturunkan. Bagi pasaran luar, Prevé akan menggantikan Persona dan juga Waja.
Objektif Proton Prevé ialah untuk membawa Proton keluar dari kepompong pasaran tempatan. Oleh itu, kesemua ciri-ciri Prevé lebih ke arah sebuah kenderaan global. Di sini, ia merangkumi rekabentuk, keselesaan, keselamatan, pengendalian, kualiti dan prestasi enjin. Dari segi keselesaaan, Prevé mempunyai kabin yang cukup besar untuk kelasnya (segmen C, sama dengan Toyota Altis, Ford Focus, Honda Civic dan Kia Forte). Ruang kaki belakang ialah yang terbesar di dalam kelasnya (815mm) dan ini terbukti di dalam sesi panduji kami di mana penumpang belakang cukup selesa. Malah, terasa seperti menaiki sebuah limosin pula.
Ruang letak barang juga antara yang terluas, 508-liter. Ini mungkin kerana pilihan Proton untuk menggunakan tayar simpanan yang kecil (space saver) bagi memaksimumkan ruang but. Kami berpendapat ini ialah satu pilihan bijak kerana tayar space saver lebih ringan dan ini membantu untuk menjimatkan minyak. Perlu diingatkan juga bahawa Prevé menggunakan sistem suspensi multilink di belakang, dan bukannya torsion beam. Namun, ruang but tetap besar dan rata, menjadikan kami hairan kenapa sesetengah jenama kereta menggunakan alasan menggunakan suspensi torsion beam yang murah dan kurang efektif itu bagi mendapatkan ruang but yang besar.
Nampaknya Proton berjaya melakukan satu packaging yang baik di sini. Ruang lega kepala dan ruang kaki penumpang depan, kesemuanya luas dan menambahkan lagi ciri keselesaan sedan ini. Malah, Prevé juga mempunyai banyak konsol tempat letak barang dan ini cukup membantu bagi mereka yang berkeluarga. Prevé juga ialah model Proton pertama yang datang dengan coat-hanger, diletakkan di setiap B-pillar. Namun bagi penduduk Malaysia yang jarang memakai kot, mungkin ia bakal jadi tempat gantung Milo-ais atau roti canai tapaw.
Papan pemuka nampak lebih konservatif, dan trim line untuk model CFE nampak lebih menawan dari model IAFM+. Baru untuk Proton ialah sistem audio Double DIN yang datang dengan skrin sentuh dan sistem navigasi. Menggunakan hardware dari Bosch dengan empat speaker, sistem audio ini mudah digunakan dan skrinnya menghasilkan imej yang cantik. Ia juga mempunyai sistem Bluetooth untuk telefon.
Proton akhirnya menambahkan fungsi BCM (Body Control Module) yang diperkenalkan dalam Exora. Diberikan skrin LCD yang besar di antara tolok tachometer dan speedometer, sistem ini dipanggil SID atau Smart Info Display. Ia mirip kepada sistem Multi Info Display di dalam kereta Kia atau Hyundai, namun tidak terdapat di dalam model Honda Civic atau Toyota Altis.
Informasi yang diberikan ialah trip meter, penggunaan minyak, distance to empty (berapa km sebelum tangki kering),bateri kereta dan kunci lemah, amaran mentol terbakar dan sebagainya. Untuk menukar info, cuma tekan butang pada stalk lampu (batang suis di sebelah kanan steering). Selain dari itu, kabin dalam menawarkan ciri-ciri:
- Push/start button (kunci masih perlu dicucuk ke dalam lubangnya, namun kunci Prevé sekarang mirip kepada kunci Kia Forte atau Volkswagen,dengan flip blade dan buatan yang kemas).
- Paddle shifters untuk menggunakan mod transmisi manual 7-kelajuan
- Kerusi dengan fabrik kalis air (seperti pada Honda Jazz atau Accord 2-liter).
- Tingkap Kuasa dengan funsgi anti-trap
- Fungsi auto-fold untuk cermin sisi
- Sensor hujan untuk wiper
- But boleh dibuka ala remote menggunakan kunci.
- Fungsi auto untuk lampu besar dan fungsi Follow-me-Home
- Ruang tempat letak barang yang banyak dan empat tempat menggantung barang (dua coat hanger, satu curry hook di tepi glovebox depan dan satu cangkuk pada batang headrest kerusi penumpang di hadapan)
Pengendalian Prevé memang mantap, malah jauh meninggalkan pesaingnya dan mirip kepada sistem suspensi Eropah. Prevé pada dasarnya menggunakan platfor Exora, namun bahagian depan diubah agar suspensinya lebih compliant dan lebih mantap. Untuk memberikan steering response yang lebih baik, anti-roll bar telah ditukar saiznya agar ia “lembut”. Ini perlu supaya steering angle boleh ditingkatkan dan feedback dapat dirasakan oleh pemandu.
Pada bahagian belakang, sistem suspensi torsion beam Exora dibuang dan digantikan dengansuspensi multilink hasil rekaan Proton 100 peratus. Ini ialah kali pertama Proton menghasilkan suspensi belakangnya sendiri (sebelum ini, ia direka oleh Mitsubishi untuk model Waja dan Lotus Engineering untuk model selainnya). Sistem multilink rekaan Proton ini lengkap dengan trailing arm dan coilovers.
Pemanduan sejauh 160km di atas lebuhraya dan jalan berliku menyaksikan kehebatan Prevé yang sebenarnya. Dengan stereng yang lebih memberikan maklumbalas, ia mengambil selekoh dengan bersahaja. Pemanduan di atas lebuhraya tertutup membolehkan kami memandu selaju 205km/j(mengikut GPS), dan Prevé terasa sungguh solid dan mantap. Tiada membuai walaupun jalannya berombak dan side-wind juga tidak begitu menggangu Prevé ini.
Di jalan berliku, menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTronic lebih mengujakan dari menggunakan paddle shifters. Mungkin kerana terlalu banyak “gear” menjadikan pemandu penat menarik paddle. Letak pada mod S dan sudah cukup untuk bersilat dengan Prevé. Turning-in cukup tajam bagi sebuah sedan keluarga dan ekornya stabil mengikut gerak stereng. Brek ketika sedang mengambil sekeloh juga tidak menggangu keseimbangan Prevé.
Untuk yang memandu kenderaan dengan torsion beam, mesti pernah mengalami kejadian di mana ekor “melompat-lompat” ketika melanggar bonggol di dalam selekoh. Inilah kelebihan penggunaan suspensi multilink kerana ia tidak menghasilkan sebarang drama langsung bila mengambil selekoh yang tidak rata.Cukup untuk kita katakan bahawa dari segi pengendalian atau ride and handling, sukar bagi jenama lain dari Jepun dan Korea untuk menandinginya. Proton sudah boleh diletakkan sama tinggi dengan Ford di dalam aspek ini.
Untuk pemandu berpengalaman, sistem brek sama pentingnya dengan kebolehan ride and handling. Sistem brek Prevé menggunakan hardware TRW, tetapi sensor dan software untuk ABS dan ESP datang dari Bosch. Hasilnya ialah sistem brek yang linear dan progresif, yang mampu kami gunakan dalam situasi trail braking.
Untuk pengetahuan pembaca, Prevé mempunyai stopping distance (100-0kmh) yang paling dekat – 36.8m berbanding dengan model Kia Forte, Toyota Altis 2.0L, Honda Civic 1.8L dan Ford Focus. Kami cuba membuat brek mengejut di atas garisan lurus dari kelajuan 140km/j dan Prevé mampu berhenti tanpa drama dan dalam keadaan yang sangat stabil. Seperti yang dikatakan, Prevé datang dengan sistem ESP atau Electronic Stability Control. Sebenarnya, Australia telah mewajibkan kesemua kenderaan baru perlu dilengkapi dengan sistem ESP dan oleh kerana Proton memang sudah bertapak di Australia, model Prevé perlu datang dengan ESP.
ESP ialah sistem elektronik yang mengawal stabiliti kenderaan ketika brek mengejut atau ketika tayar hilang cengkaman. Ia seperti pemandu mempunyai empat pedal brek kerana ESP mampu mengawal fungsi setiap brek dengan sendirinya. Cukup penting untuk keselamatan, ESP tidak terdapat dalam banyak model Jepun atau tempatan di bawah harga RM100,000.
Selaind ari ESP, sistem keselamatan lain yang terdapat pada Prevé ialah penggunaan teknologyHotPress Forming dalam struktur kenderaan RESS (Reinforced Safety Structure), sistem ABS dengan ESP, brek belakang disk, empat beg udara (depan dan sisi), pre tensioner, active headrest,ISOFIX mounting (untuk kerusi bayi), lampu hazard auto (jika berhenti mengejut dalam kelajuan melebihi 96km/j) dan fungsi auto unlock (pintu akan unlock selepas berlaku pelanggaran).
Prevé direka untuk mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh Australian NCAP, namun ujian rasmi oleh Australia NCAP belum dilakukan (khabarnya akan dilakukan dalam masa terdekat ini). Prevé juga sebenarnya boleh memuatkan enam beg udara, namun kos menjadi masalah untuk pasaran tempatan. Untuk bakal pemilik, perlu diingatkan dengan adanya beg udara sisi, kemasan kulit pada kerusi perlu dilakukan oleh mereka yang mahir sahaja. Jika tidak, beg udara tidak keluar dan mungkin boleh menyebabkan kecederaan.
Enjin yang digunakan ialah Campro CFE turbo dan Campro IAFM+. Untuk CFE, ia menghasilkan 103kW, sama seperti enjin 2.0L n/a tetapi CFe menghasilkan kadar tork yang lebih tinggi – 205Nm.Kami pada mulanya berharap agar prestasi Prevé lebih baik dari Exora Bold dengan enjin yang sama. Tetapi, dengan kadar refinement Prevé yang lebih tinggi, kami langsung tidak merasa “lonjakan tork” pada Prevé. Terasa perlahan tetapi bila speedometer dijeling, kelajuan sudah mencecah 140km/j dalam sekelip mata.
Menurut Proton, Prevé mencapai 100km/h dari pegun dalam masa 9.6 saat, jauh lebih pantas dari Civic, Altis, Forte dan Focus. Kelajuan maksimum ialah pada 205km/j dan penggunaan minyak pula ialah 8.2L/100km.
Model IAFM+ lebih sesuai untuk pemanduan santai. Bila ditekan, sistem CVT ProTronicmembuatkan enjin meraung bising namun pada pendapat kami, prestasi enjin IAFm memadai. Malah, ia rasa lebih selesa dari model Saga FLX SE dengan enjin yang sama.Model IAFM+ juga datang dengan transmisi 5-kelajuan Getrag, dan ini akan menjadi model asas untuk Prevé. Kelajuan untuk model ini ialah dalam lingkungan 175km/j.
Prevé mungkin belum boleh lagi mengubah persepsi dunia terhadap Proton. Ia memerlukan lebih dari sebuah model untuk mula bertukar imej. Tetapi Prevé memberikan permulaan yang sangat baik untuk Proton. Proton juga membuka lembaran baru dengan model Prevé ini. Malah, ciri-ciri pemasaran global turut digunakan, contohnya penamaan sistem transmisi ke ProTronic, pembinaan struktur keselamatan dalam badan RESS dan SiD untuk paparan meter. Ini ialah antara gimik yang digunakan oleh syarikat kenderaan dunia lain dan kini Proton turut melangkah ke arah itu. - AutoAnda
Sumber:  http://funtastickodesign.wordpress.com
Share

No comments:

Post a Comment

Terima kasih komen di sini.
PS: Diharap dapat menjaga tatasusila semasa memberi komen.
**Jangan tinggalkan link atau URL diruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2017 Pokok Manggis Depan Rumah
Distributed By My Blogger Themes | Design By Herdiansyah Hamzah| Oh Panduan