Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Sikap Ekonomi Ketika Gawat Menurut Nabi Yusuf
Nabi Yusuf telah menggariskan persediaan & kaedah belanjawan yang berhemah, ketika berlaku kegawatan di luar kawalan kita sebagai manusia. Baginda menyediakan pedoman tersebut, saat menafsirkan mimpi raja yang membingungkan.
Ladang Gandum |
Mimpi Raja.
وَقَالَ الْمَلِكُ إِنِّي أَرَىٰ سَبْعَ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعَ سُنبُلَاتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ ۖ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَفْتُونِي فِي رُؤْيَايَ إِن كُنتُمْ لِلرُّؤْيَا تَعْبُرُونَ
"Raja berkata: Sesungguhnya aku bermimpi melihat 7 ekor lembu gemuk dimakan oleh 7 lembu kurus. Dan 7 tangkai gandum yang hijau & 7 tangkai yang lainnya kering. Wahai pembesar-pembesar, terangkanlah kepadaku berkenaan tafsiran mimpiku, sekiranya kamu dapat menafsirkannya" - Yusuf 43.
Dalam ayat ini, raja merasa bingung dengan mimpi yang dialaminya. Setelah ditanya kepada pembesar-pembesarnya, ternyata semua tidak mengetahui tafsir mimpi raja tersebut. Yang menariknya, mereka tidak memandai-mandai bersuara memberi nasihat tanpa kepastian ilmu.
Lantas persoalan tersebut diajukan kepada Nabi Yusuf, yang sudah terkenal sebagai pakar mentakwil mimpi. Ketika itu baginda sedang meringkuk di dalam penjara akibat menjadi mangsa fitnah. Sikap tidak kisah mendengar pandangan bermanfaat sekalipun dari orang yang tiada kedudukan politik, merupakan sifat baik yang dimiliki oleh raja tersebut.
Ketelusan Maklumat.
Persoalan raja itu terus disampaikan oleh rakan Nabi Yusuf yang pernah bersama dengan baginda di dalam penjara. Jika kita membaca surah Yusuf ayat 46, kita akan dapati kelihatan Allah mengulangi sebahagian dari ayat 43. Ini bagi menggambarkan rakan Nabi Yusuf yang menyampaikan persoalan raja, sangat berintegriti dengan mengulangi ayat dari raja tersebut 100% serupa tiada tokok tambah.
Sememangnya ketika
gawat, integriti maklumat sangat penting. Samada informasi perkembangan
ekonomi atau pemakluman dari pemerintah kepada rakyat bawahan, mestilah
disampaikan secara tepat tiada tokok tambah.
Jawapan Nabi Yusuf.
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تَأْكُلُونَ• ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تُحْصِنُونَ• ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ
"Nabi Yusuf berkata: "Supaya kamu bercucuk tanam 7 tahun lamanya sebagaimana biasa. Maka apa yang kamu tuai itu hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit sahaja untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang 7 tahun yang sangat sulit. Ketika itu adalah waktu agar kamu habiskan simpanan terdahulu, melainkan sedikit untuk kamu simpan. Kemudian setelah itu datang tahun berikutnya, dilimpahkan buat manusia hujan yang cukup. Di saat itu, mereka memerah anggur" - Yusuf 47-49.
Takwilan Nabi Yusuf:
• 7 ekor lembu gemuk & 7 tangkai gandum hijau: Melambangkan tempoh 7 tahun kesenangan ekonomi.
• 7 ekor lembu kurus & 7 tangkai gandum kering: Melambangkan tempoh 7 tahun kegawatan ekonomi.
Lembu |
Sediakan Payung Sebelum Hujan.
Dari jawapan Nabi Yusuf, baginda menggagaskan cara berbelanja dengan berhemah. Kemarau, wabak & peperangan antara situasi yang bukan di bawah kawalan kita.
Bahkan kita tidak boleh lari melainkan ia perlu dihadapi dengan tabah. Cara menghadapinya adalah bersedia & berjimat seperti yang diajarkan oleh Nabi Yusuf.
Penjelasan ulama':
• Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyatakan dari kisah ini, betapa sebuah negara perlu ada peruntukan undang-undang untuk memiliki rizab simpanan yang cukup bagi mendepani bencana.
• Syeikh Dr Wahbah Zuhaili pula menegaskan sesebuah negara wajar menyimpan & mencatu makanan untuk keperluan mendatang di waktu susah.
Memelihara Maslahat Rakyat Ketika Bencana.
Imam al-Qurtubi mengkaitkan kisah ini dengan persediaan menjaga maslahat syariat yang terdiri dari memelihara:
• Agama
• Nyawa
• Akal
• Zuriat
• Harta.
Islam serius memelihara nasib kehidupan manusia di dunia. Dari kefahaman tersebut, keperluan-keperluan bagi kehidupan rakyat, perlu disediakan oleh kerajaan pada kadar kemampuan yang ada.
Dalam konteks semasa, jaminan perubatan, tempat tinggal, makanan & keperluan-keperluan asasi lain perlu disediakan oleh kerajaan di saat rakyat tidak mampu untuk mengeluarkan hasil produktiviti mereka.
Untuk mencorak suasana negara penuh kesediaan seperti itu, sesebuah kerajaan perlu diurus oleh pemimpin yang cermat & bersedia mendapatkan khidmat pakar yang sewajarnya. Sebarang pandangan dikemukakan demi maslahat rakyat, bukan maslahat politik yang sempit. Itulah sikap yang kita boleh pelajari dari relasi antara raja, utusan & Nabi Yusuf.
Berjimat, Berjimat & Berjimat.
Imam Abi Su'ud di dalam tafsirnya menjelaskan dari kisah ini, bahawa suruhan Nabi Yusuf bermaksud:
• Kurangkan makan.
• Jangan membazir.
Perlambangan itu bolehlah difahami bahawa ketika bencana ekonomi melanda, rakyat perlu mengubah gaya hidup masing-masing. Sekalipun pesanan Nabi Yusuf itu sebagai persediaan berhadapan dengan bencana mendatang, namun ia tetap relevan bahkan lebih kritikal dipraktiskan ketika bencana sedang berlangsung.
Jika rakyat memperolehi bantuan dari kerajaan, pastikan ia dibelanjakan dengan penuh cermat. Saat bencana bukan waktu untuk bermewah atau hidup normal seperti biasa. Sebaliknya sekarang adalah saat berjimat bagi menghadapi bencana yang kita tidak tahu bilakah akan berakhir.
Kesusahan Memulihkan Fitrah Manusia.
Jika sebelum ini kita bermewah, waktu sekaranglah saat kita merasai kesusahan. Ambillah peluang yang Allah kurniakan ketika kegawataan ekonomi hari ini, untuk menghakis sikap tamak & mementingkan diri sendiri yang merupakan penyakit sikap masyarakat negara membangun & maju.
Ramai pemerhati ekonomi menjangkakan selepas berakhirnya bencana Covid-19 yang kita pun tidak tahu bila penghujungnya, dunia akan mengalami krisis ekonomi besar-besaran. Jangkaan itu kelihatan pasti.
Senario hidup selepas ini kelihatan tidak mudah untuk kita langsungkan. Mohonlah kepada Allah, agar Allah selamatkan kita & kurniakan buat kita kesabaran untuk menghadapi krisis ekonomi akan datang.
Sumber : Abdul Mu'izz
--> http://bit.do/IlmuRumahLelong (klik sini)
--> http://bit.do/IlmuRumahLelong (klik sini)
1 Comments
Penghasilan bidang pertanian banyak dipengaruhi oleh cuaca
ReplyDeleteTerima kasih komen di sini.
PS: Diharap dapat menjaga tatasusila semasa memberi komen.
**Jangan tinggalkan link atau URL diruangan komen.